PERUTUSAN PEGAWAI DAERAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Selamat datang ke Portal Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Bentong. Saya mengalu-alukan kunjungan tuan-tuan dan puan-puan ke portal ini sebagai sumber maklumat berkaitan pentadbiran serta perkembangan Daerah Bentong.
Pentadbiran Daerah Bentong sentiasa komited untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pembangunan dilaksanakan secara terancang, mampan serta seimbang demi kesejahteraan rakyat.
Daerah Bentong mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, pertanian, perniagaan dan perindustrian, dengan tarikan seperti Genting Highlands, Bukit Tinggi dan Kampung Janda Baik. Selain itu, pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) berpotensi meningkatkan jaringan perhubungan, merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pelaburan.
Kejayaan pembangunan daerah memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta, pemimpin masyarakat dan seluruh warga Bentong. Komitmen bersama amat penting bagi memastikan daerah ini terus maju, sejahtera, berdaya saing dan mampan.
Akhir kata, saya berharap agar portal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai saluran penyampaian maklumat yang berkesan, telus dan mesra pengguna. Segala pandangan dan maklum balas daripada masyarakat amat dialu-alukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memacu kemajuan Daerah Bentong.
Selamat melayari Portal Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.
Sekian, terima kasih.
DATO' HAJI MOHAMMAD SHAHID BIN ISMAIL, DIMP., AAP.
Pegawai Daerah Bentong