Sekolah Menengah Clifford (1913)
Sekolah Menengah Clifford merupakan sebuah sekolah Inggeris kerajaan yang tertua di Negeri Pahang yang di bina pada tahun 1913. Sebelum itu,sekolah ini telah dikenali sebagai Government English School. Kemudian,dikenali pula sebagai Anglo Chinese School dan akhirnya sebagai Clifford School. Pada masa itu,bangunannya hanya berupa sebuah rumah kayu kecil dan beratapkan nipah. Ia dibina di tebing Sungai Jelai.
Pada tahun 1918 sekolah tersebut mempunyai 12 orang pelajar lelaki. Kemudian jumlah pelajar bertambah kepada 200 orang dan sekolah ini telah berpindah ke kawasan yang ada sekarang. Pada tahun 1919 sebuah bangunan telah dibina di tengah-tengah padang sekolah pada masa itu,namun telah musnah dilanda banjir besar pada tahun 1926. Bangunan sekolah yang digunakan pada masa itu hanyalah bangunan-bangunan kayu. Memandangkan sekolah ini merupakan institusi pelajaran terbesar di Negeri Pahang ,bangunan Malay Hostel 1926 dan bangunan induk berbentuk D telah dibina,untuk menempatkan para pelajar.
Apabila terbinanya bangunan hostel, sekolah ini di anggap sebagai sekolah berasrama penuh(Boarding School) di Kuala Lipis oleh penduduk di Pahang. Pelajar-pelajar yang memasuki sekolah ini merupakan pelajar terpilih yang datangnya dari merata-rata tempat di seluruh Negeri Pahang. Perasmian sekolah ini,telah dibuat dalam tahun 1926 oleh Sir Hugh Clifford,yang merupakan Residen British Pahang. Pada tahun 1926 ,beliau telah menjadi Governor Of The Strait Settlements dan High Commisioner Of The Federated Malay States. Sekolah ini telah diabadikan dengan nama beliau selepas upacara itu.
Guru Besar pertama disitu ialah Mr.V.N Bartlett. Sekolah ini telah mencatatkan sejarah sekolah pertama mengadakan School Certificate Class dalam tahun 1936. Penuntut yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge adalah seramai 11 orang dan 9 orang mereka telah lulus peperiksaan tersebut. Di samping kecermerlangan yang di perolehi dalam bidang akademik, sekolah ini juga mencapai kejayaan yang membanggakan dalam bidang sukan. Pada zaman pemerintahan Jepun sekolah ini dijadikan markas tentera Jepun dan ibu pejabat Kempetai (Polis Rahsia Jepun). Terdapat sebuah tempat yang di percayai digunakan oleh tentera Jepun sebagai kubu untuk menangkis serangan pihak musuh. Selain itu,sebuah bilik darjah dijadikan tahanan penyiksaan sebelum seseorang tahanan dihantar ke Melaka yang kini merupakan bilik darjah pelajar-pelajar tingkatan 6.
KDYMM Sultan Pahang,Sultan Haji Ahmad Shah,dan Tan Sri Ghazali Shafie merupakan antara bekas pelajar di sekolah ini. Mulai tahun 1949 padang sekolah dijadikan padang utama program rasmi Negeri Pahang seperti sambutan ulang tahun keputeraan KDYMM Sultan Abu Bakar dan sukan tahunan sekolah-sekolah Negeri Pahang pada tahun 1955. Penyanyi nombor 1 negara iaitu Dato’ Siti Nurhaliza binti Taruddin adalah bekas pelajar di sekolah Clifford.Beliau memulakan pelajaran ke Sekolah Menengah Clifford dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Sehingga sekarang Sekolah Clifford banyak menempa kemajuan dari zaman ke zaman dan telah melahirkan ramai penuntut yang memberi sumbangan besar kepada negara.
GAMBAR IHSAN https://skcliffordlipis.wordpress.com/ (sekiranya pihak berwajib inginkan gambar ini diturunkan, boleh hubungi kami.
GAMBAR IHSAN https://skcliffordlipis.wordpress.com/ (sekiranya pihak berwajib inginkan gambar ini diturunkan, boleh hubungi kami.
Rumah Kediaman Bekas SUK (1920)
Rumah ini dibina pada tahun 1920 di Bukit Bius, Kuala Lipis dan dijadikan kediaman rasmi Setiausaha Negeri Pahang ketika itu. Di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang pernah mendiami rumah ini ialah Dato’ Setia Raja Abu Samah Bin Ali (1948-1952) dan Tun Abdul Razak Bin Hussein (1952-1955). Rumah ini terletak bersebelahan dengan kediaman Yang Amat Berhormat Menteri Besar ketika itu yang dikenali sebagai Istana Hinggap sekarang.
Bukit Bius ketika itu menjadi tempat kediaman utama para Pegawai Tinggi Kerajaan Negeri. Apabila Ibu Negeri Pahang dipindahkan ke Kuantan pada 1995, rumah ini didiami oleh Pegawai Kanan Kerajaan Daerah Lipis dan Pegawai Pertanian Daerah Lipis dan Pegawai Pertanian Daerah Lipis merupakan orang terakhir yang mendiami rumah ini.
Rumah ini merupakan tempat kelahiran tempat kelahiran Perdana Menteri Malaysia sekarang iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak. Kelahiran beliau dirumah ini pada tahun 1953 telah disambut oleh bidan dari Hospital Kuala Lipis yang bernama Puan Fatimah atau lebih dikenali sebagai Mak Da. Rumah ini dibina bercirikan seni bina gabungan Eropah dan Melayu dengan tingkap yang banyak dan hanya mempunyai dua buah bilik tidur yang luas. Ruang keluarga terletak di bahagian anjung, manakala ruang tamu, ruang makan dan sebuah bilik tidur tetamu terletak di tingkat bawah.
Rumah Rehat Bukit Residen (1922)
Rumah Residen ini dibina pada tahun 1922 di Bukit Residen,iaitu puncak bukit yang tertinggi di Kuala Lipis. Ia dijadikan sebagai rumah kediaman Residen Inggeris. Penghuni pertama rumah ini ialah Hugh Clifford yang merupakan Residen British pada masa itu. Selepas beliau,Residen-residen Inggeris terus menduduki rumah ini sehinggalah tercetusnya perang dunia kedua.
Pada 1958 bangunan ini dijadikan sebagai asrama murid-murid lelaki Sekolah Clifford sehinggalah ditutup pada 31 Disember 1965 dan seterusnya dibiarkan kosong. Terdapat satu ruang di bawah tangga dipercayai terletaknya sebuah terowong dianggarkan 15 kaki panjang. Ia digunakan sebagai tempat perlindungan dari serangan bom.
Pada tahun 1983,bangunan ini telah diperbaikioleh kerajaan negeri untuk dijadikan Rumah Rehat Kerajaan. Manakala pada Disember 1985 sudut Muzium Lipis diwujudkan untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah dan kebudayaan Daerah Lipis. Ianya merupakan sudut muzium pertama yang ditubuhkan di Negeri Pahang.
Asrama Melayu (1926)
Bangunan ini siap dibina pada tahun 1926, ia merupakan bangunan yang terbesar dan tercantik di kawasan Sekolah Clifford. Dengan terbinanya asrama ini, Sekolah Menengah Clifford dianggap sebagai sekolah berasrama penuh (Boarding School). Pelajar-pelajar yang memasuki sekolah ini merupakan pelajar yang datang dari merata tempat di seluruh Negeri Pahang.
Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini merupakan markas terbesar mereka untuk urusan pentadbiran. Menurut satu sumber, Sekolah Clifford merupakan “head quarters” tentera Jepun dan tempat penyeksaan serta pembunuhan tahananya. Menurut YH Dato’ Wan Abdul Rahman, kawasan kantin dan dewan sekolah tersebut merupakan tempat Jepun untuk menyeksa orang, contohnya merendam kepala mangsa ke dalam air sabun dan kemudiannya memijak perut tahanan sehingga pecah. Kejadian ini semua disaksikan oleh beliau sendiri.
Dahulu kawasan kantin sekolah adalah kawasan lapang untuk memancung kepala pesalah. Selain itu, terdapat sebuah bilik yang menempatkan asrama untuk KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al Muadzam Shah. Kini bilik ini telah menjadi untuk guru Penolong Kanan dan pejabat pentadbiran Sekolah Clifford.





