Skip to main content
PERKHIDMATAN
PANTAS
Facebook Kalendar
🏛️

Sejarah Daerah Lipis

Warisan Bersejarah • Bekas Ibu Negeri Pahang

Daerah Lipis terletak di bahagian Barat Laut Negeri Pahang dan merupakan daerah ketiga terbesar di negeri ini selepas Jerantut dan Rompin. Daerah ini terkenal dengan bandar Kuala Lipis, iaitu bekas ibu negeri Pahang yang pertama. Bandar ini terletak di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Lipis, serta menjadi pusat pentadbiran negeri bermula pada tahun 1898 sebelum ibu negeri dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.

Ketika era penjajahan British, Kuala Lipis berkembang pesat sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan. Pada tahun 1890, British membina jalan raya sepanjang kira-kira 130 batu yang menghubungkan Kuala Lipis dengan Kuala Lumpur bagi memudahkan pengangkutan hasil bumi seperti bijih timah dan emas.

Seterusnya pada tahun 1920, landasan kereta api dibina menghubungkan Kuala Lipis dengan Gemas hingga ke Johor bagi mempercepatkan penghantaran hasil perlombongan ke pelabuhan. Sehingga hari ini, kesan sejarah tersebut masih dapat disaksikan melalui bangunan-bangunan kolonial yang menjadi mercu tanda bandar ini seperti Rumah Rehat Bukit Residen, Kompleks Pejabat Kerajaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Pahang Club dan beberapa bangunan warisan lain yang masih mengekalkan seni bina kolonial British.

📖

Asal Usul Nama Kuala Lipis

Kuala Lipis terletak di kuala pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Terdapat dua cerita yang sering dikaitkan dengan asal usul nama bandar ini.

🌿

Cerita Pertama

Nama Kuala Lipis dikatakan berasal daripada sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Serau Lipis. Tumbuhan memanjat yang berbunga putih ini dipercayai tumbuh dengan banyak di kawasan tersebut pada suatu ketika dahulu, lalu menjadi asal kepada nama bandar ini.

🚣

Cerita Kedua

Menurut cerita lain, nama Kuala Lipis berasal daripada perkataan "Lepas". Pada zaman dahulu, sungai merupakan laluan utama penduduk untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Sungai Jelai dan Sungai Lipis membolehkan masyarakat "lepas" atau bebas berulang-alik ke mana-mana destinasi.

"Keh nok ke Kolepas (Kuala Lepas)"

Lama-kelamaan, sebutan "Lepas" berubah menjadi "Lipis", manakala penduduk tempatan pula menyebutnya sebagai "Kolepih" mengikut loghat Kuala Lipis. Nama tersebut akhirnya kekal sehingga hari ini sebagai Kuala Lipis.