TEMPAT MENARIK
Bukit Panorama
Bukit Panorama terletak tidak jauh dari Bandar Sungai Lembing. Pendakian ke Bukit Panorama memerlukan para pendaki berada seawal subuh di kaki bukit agar dapat sendiri melihat keindahan terbitnya matahari. Selain menyaksikan pemandangan indah matahari terbit yang dapat disaksikan pada aras setinggi 271 meter, pendaki juga dapat melihat suasana nyaman kawasan Kampung Sungai Lembing yang diselubungi gumpalan kabus pagi.

Peminat aktiviti lasak dialukan untuk merasai suasana mencabar mendaki Bukit Panorama dengan menaiki ratusan anak tangga bersimen sehingga ke puncak. Sesekali pendaki dapat berhenti untuk merakam suasana indah pendakian pada waktu subuh yang dingin yang menusuk kulit.
Pantai Batu Hitam

Pantai Batu Hitam adalah destinasi peranginan pantai yang terletak 4km utara Kuantan. Pantai tersebut mendapat namanya dari ciri unik di sepanjang landskapnya iaitu katil batu yang besar serta bervariasi dalam warna dari kelabu hingga hitam. Terdapat juga garis pantai berpasir yang indah dan menarik. Ciri alam sekitar ini paling ketara pada air surut apabila air terurai, batu-batu menjadi semakin jauh dari pantai. Hanya menduduki satu segmen di kawasan itu, selebihnya pantai dan laut di sekitarnya jelas dari serpihan semula jadi.
Kemudahan awam disediakan, termasuk pusat penjaja, tempat letak kereta, laluan pejalan kaki dengan bangku dan tandas. Barisan penjaja yang menjual juadah enak juga digemari pengunjung seperti keropok, mi kari, ABC dan lain-lain lagi.
Pemilik gerai makan di sini sangat peramah dan mesra membuatkan pengunjung merasa selesa dan gembira menerima layanan istimewa ini.
Pantai Batu Hitam menjadi popular dengan aktiviti berkelah, sukaneka, hari keluarga serta mandi manda kerana pantainya yang landai. Pengunjung boleh menikmati keindahan suasana matahari terbit yang sangat indah dan menawan.
Bukit Pelindung
Terkenal bagi acara pendakian, Bukit Pelindung menjadi tumpuan pengunjung pada cuti hujung minggu. Terletak di Jalan Tengku Muhamad, Alor akar Kuantan. Lokasinya yang berhampiran dengan kawasan sekolah secara tidak langsung menarik minat pelajar dan guru untuk menjalankan aktiviti kegermaran mereka di sini.
Menara tinjauan di Bukit Pelindung dapat membuatkan pendaki menyaksikan panorama seluruh bandar Kuantan dari puncak ini. Namun begitu, atas faktor keselamatan menara tinjauan kini tidak lagi boleh dikunjungi.
Pantai Teluk Chempedak
Pantai Teluk Chempedak atau lebih dikenali sebagai TC cukup terkenal di kalangan pengunjung sama ada dari luar atau rakyat tempatan. TC cukup sinonim dengan daerah Kuantan dan popularitinya juga setanding dengan infrastruktur yang terbina telah menjadikan lokasi ini sebagai destinasi pilihan pengunjung ketika percutian.

Terdapat jambatan yang direka khas bagi pengunjung untuk menyusuri pesisir pantai menjadi tempat tumpuan. Pengunjung dapat menikmati kecantikan pantai juga pemandangan kehijauan flora dan fauna. Hutan rekreasi tersebut terpelihara kerana kelestarian alam dijaga dengan baik demi merasai kedamaian alam.
Panorama semula jadi seperti longgokan batuan, kehijauan hutan dan pasir pantai yang memutih ini pastinya akan memberi sudut penggambaran yang cantik. Pantai Teluk Cempedak juga mempunyai kemudahan asas yang lengkap seperti surau, tandas, hotel, restoran, gerai akan memudahkan pengunjung. Terdapat juga gerai kraf tangan yang menjual cenderamata untuk pengunjung yang ingin membeli hadiah kepada sanak saudara apabila pulang daripada percutian ini ataupun dijadikan sebagai kenang-kenangan. Oleh itu, pengunjung perlu melawat Pantai Teluk Cempedak apabila bercuti ke Kuantan, Pahang.
Muzium Sungai Lembing
Muzium Sungai Lembing terletak di atas bekas tapak lombong bijih timah yang terdalam dan antara yang terbesar di dunia pada suatu ketika dulu.

Bukit Gambang Resort City
Merupakan taman tema yang paling menarik terletak di Kuantan. Jarak dari bandar Kuantan hanya 40 kilometer dari pusat bandar. Bukit Gambang Resort City (BGRC) bakal menjanjikan keseronokan yang terbaik bagi para pengunjung. Komponen utama BGRC adalah Gambang Water Park dan Safari Park.

Santuari Penyu Cherating
Perkampungan nelayan, Cherating, yang terletak nun di pantai timur Semenanjung Malaysia adalah sebuah pusat peranginan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Lokasinya yang terletak berhampiran dengan sempadan negeri Terengganu juga menjadi salah satu faktor yang menarik ramai pengunjung untuk ke sini.
Santuari Penyu Cherating, membolehkan pengunjung yang datang ke sini dapat melihat penyu-penyu yang comel. Dengan keluasa yang agak terhad, kunjungan ke sini mengambil masa yang sekejap sahaja namun pasti akan memberi pengalaman baharu kepada pengunjung. Keseronokan pengunjung terutama kanak-kanak yang teruja apabila melihat anak-anak penyu pasti menceriakan suasana.
Banyak info berkaitan haiwan ini yang boleh diperolehi di dalam galeri penerangan. Keseronokan dan kegembiraan pasti dapat dirasai apabila dapat melihat sendiri keunikan pada waktu anak-anak penyu baru menetas.
Santuari Penyu Cherating beroperasi pada Selasa hingga Ahad bermula jam 930 pagi hingga 430 petang dan tiada bayaran yang dikenakan. Terletak di KM 45, Jalan Kuantan-Kemaman pasti memberikan pengalaman baharu buat pengunjung.
Kuantan Art Street
Lukisan mural kisah rakyat dan identiti warga Pahang di lorong belakang barisan kedai lama di Jalan Besar merubah suasana ceria dan sangat meriah. Waktu malam yang penuh dengan penataan cahaya sangat ceria dan menghidupkan suasana yang nyaman dan tenteram turut disimbahi cahaya bulan nan terang.

Projek 06 ini adalah merupakan hasil kerja dan cetusan idea anak jati Pahang bermula Disember 2020 sebagai tumpuan pelancong yang datang ke Kuantan. Mengambil ruang sepanjang 200 meter, Kuantan Art Street menjadi sebahagiaan dari kebanggaan warga Kuantan yang dinobatkan sebagai Bandaraya pada Februari 2021.

Kunjungan ke lokasi ini membawa pengunjung mengenali dan menjiwai setiap lukisan yang dipamerkan seolah berada dalam suasana sebenar. Menarik dan menjadi identiti terbaharu sempena pengisytiharaan Kuantan sebagai Bandaraya, Kuantan Art Street diharap lebih mendapat sokongan dari semua pihak namun tetap mengekalkan sejarahnya yang tersendiri.
Kuantan 188

Keunikan namanya seunik menara yang merupakan menara ikonik tertinggi di Pantai Timur. Dalam lipatan sejarah tetap gah sebagai menara ikonik kedua tertinggi di Malaysia. Kebanggaan warga Kuantan kini tertumpu pada Menara Kuantan 188 ini yang telah siap dibina pada September 2019.
Menjadi sebahagian daripada projek Kuantan Water Front, Kuantan 188 menjadi tumpuan orang ramai dari pelusuk negara dengan konsep reka bentuknya yang tegak dan tirus umpama lembing. Pengunjung boleh menikmati pemandangan keseluruhan Bandaraya Kuantan serta persisiran Sungai Kuantan. Dengan ketinggian dari aras 92 hingga 104 meter, sudut landskap dan panorama menarik dapat dijamah dengan lensa kamera yang pasti menggamit kenangan indah sewaktu mengunjungi Bandaraya Kuantan.
Reka bentuk Anjung Menara adalah berdasarkan inspirasi daun dan bunga pokok Teruntum Putih cukup gah untuk dipotretkan. Anjung Tinjau Terbuka yang berada pada aras 104 meter menjadi tumpuan bagi outdoor viewing dengan kapasiti 12 orang pada satu-satu masa. Selain dapat menyaksikan panorama pemandangan 360 darjah di Anjung Tinjau pada aras 92 meter, Kuantan 188 juga dilengkapi dengan restoran yang boleh menampung sehingga 80 orang pengunjung.

