Skip to main content

TEMPAT MENARIK

Taman Negara Pahang

 Taman Negara Pahang dibuka pada 1938/1939 sebagai Taman Negara King George V. Ia kemudian dinamakan sebagai Taman Negara selepas kemerdekaan. Keluasan kawasan Taman Negara ialah 4,343 km2.

Taman Negara terletak di antara sempadan 3 negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana masing-masing memiliki kawasan milik sendiri. Taman Negara Pahang merupakan yang terbesar dengan keluasan 2,477 km2, diikuti oleh Taman Negara Kelantan dan Taman Negara Terengganu.

Terdapat banyak daya tarikan dari segi geologikal dan biologikal di taman ini. Gunung Tahan merupakan titik tertinggi di Semenanjung Malaysia terletak di Taman Negara. Pendaki boleh menggunakan Kuala Tahan atau Merapoh sebagai titik permulaan ekspedisi pendakian itu. Taman Negara ini mempunyai banyak haiwan mamalia yang jarang ditemui dan semakin pupus seperti harimau, tenuk, gajah, rusa, pelanduk dan seladang. Sungai Tahan menjadi kawasan habitat kepada Ikan Kelah, sejenis ikan pertandingan.

Daya tarikan lain boleh ditemui di Kuala Tahan termasuk Canopy Walk, Gua Telinga, Sungai Tabung, Kelah Sanctuary dan Lata Berkoh. Pengunjung dapat menikmati keindahan hutan hujan tropika, kicauan burung ataupun merentas hutan dan pemandangan sungai ketika melalui Sungai Tahan. Semua pengunjung mesti mendapatkan kebenaran/permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara sebelum menjejakkan kaki ke Taman Negara.

  

Gunung Benom

 Gunung Benom merupakan sebuah gunung yang terdapat di negeri Pahang Darul Makmur. Gunung Benom mempunyai ketinggian setinggi 2,107 meter atau 6913 kaki dari aras laut. Gunung Benom mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan hutan Ericaceous atau hutan gunung.

Gunung Benom merupakan gunung yang kedua tertinggi di Pahang selepas Gunung Tahan dan merupakan puncak gunung yang kesepuluh tertinggi di Semenanjung Malaysia. Banjaran Benom ini terletak di antara sempadan dua daerah iaitu sempadan daerah Jerantut dan daerah Raub. Gunung ini boleh didaki menerusi tiga cara iaitu dari Sungai Klau di Raub, dari Kampung Ulu Cheka di Jerantut dan dari perkampungan orang asli di Kampung Damak, Jerantut. Pendakian menerusi Sungai Klau lebih cepat untuk sampai ke puncak kira-kira 2 atau 3 jam. Manakala pendakian agak sukar dan jauh menerusi Kampung Ulu Cheka di sebelah Jerantut. Pendakian menerusi Sungai Klau di raub adalah menerusi laluan air terjun Lata Berumbum.

Jika pendakian menerusi Kampung Ulu Cheka pula, pendakian akan bermula dari Kampung Tengah, Ulu Cheka dan untuk sampai ke kawasan pendakian perlulah melalui perkampungan kecil di Kampung Damak menuju ke Kampung Ulu Cheka sehinggalah sampai di Kampung Tengah Mukim Ulu Cheka, Jerantut. Melalui Kampung Tengah ini, pendakian agak sukar dan terpaksa menempuh bukit yang tinggi serta dipenuhi pelbagai spesis tumbuhan.

  

Hutan Lipur Lata Meraung

 Lata Meraung merujuk kepada kawasan air terjun yang menarik berhampiran Bandar Jerantut. Perkataan 'Lata' adalah merujuk kepada kawasan air terjun, manakala 'Meraung' diberi nama kepada kawasan air terjun tersebut kerana deruan air yang jatuh ke permukaan kolam seolah-olah bunyi orang meraung.

Pada masa dahul, kawasan tersebut hanya didiami oleh Orang-orang Asli, seiring dengan perubahan dan dengan adanya kemudahan jalan raya dan kemudahan asas yang lebih baik, lebih ramai penduduk mula mendirikan petempatan di pinggir-pinggir jalan menghala ke Lata Meraung. Malah wujud pekan mini komuniti cina di laluan menghala ke kawasan air terjun tersebut.

Bagi pengunjung yang berminat ke Lata Meraung, mereka bolehlah menggunakan khidmat pemandu pelancong yang terdapat di Bandar Jerantut memandangkan tiada kemudahan bas awam atau teksi yang sering berulang alik ke kawasan itu. Pelancong yang lebih suka berjalan kaki juga adalah tidak digalakkan memandangkan jaraknya yang sangat jauh daripada laluan bas awam. Bagi pelancong yang berkereta, tiada masalah untuk mengunjungi kawasan tersebut memandangkan telah wujud sistem jalan raya yang agak baik. Ini berikutan adanya petempatan dan wujudnya sebuah padang golf berhampiran Lata Meraung.Jarak dari Bandar Jerantut ke Lata Meraung adalah lebih kurang 15km. Dari Bandar Jerantut, pengunjung harus meneruskan perjalanan melalui jalan besar Jerantut-Benta.

Terdapat beberapa peringkat air terjun di Lata Meraung. Bagi pengunjung yang datang berkeluarga, mereka boleh memilih untuk mandi-manda bersama anak-anak di kolam paling bawah memandangkan ianya lebih selamat. Namun, pengawasan perlu kepada keluarga dan anak-anak kerana kawasannya yang berbatu dan agak licin. Sesetengah kawasan adalah agak dalam dan perlu berhati-hati.

Makam Mat Kilau

 Mat Kilau dipercayai dilahirkan pada tahun 1865/1866 di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut, Pahang di dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah. Nama penuh beliau ialah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau ialah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai 'Dikir Pahang'. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini, Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Mat Kilau merupakan antara pahlawan-pahlawan Pahang yang terkenal.

  

Taman Warisan Gua Kota Gelanggi

 Gua Kota Gelanggi merupakan tempat yang menarik untuk dilawati. Gua ini terletak di Daerah Jerantut di negeri Pahang. Di Taman Warisan ini Gua Kota Gelanggi ini terdapat banyak gua, antaranya ialah Gua Tongkat, Gua Angin, Gua Batu Sanding, Gua Kota Balai, Gua Penyu dan Gua Kelawar. Apabila sampai di sini, anda akan bertemu dengan gua yang berbentuk pintu gerbang yang di dalamnya terdapat alur air yang mengalir jernih dan sejuk.

Gua Kota Balai telah berlaku perubahan bentuk kerana suatu masa dahulu sekitar tahun 1970an telah berlaku aktiviti penggalian dan pengambilan najis kelawar secara besar-besaran untuk dijadikan baja tanaman. Nama Gua Tangga diambil sempena tangga besi yang ada di situ. Tangga itu telah dibina oleh pengusaha yang mengambil najis kelawar pada masa itu.

Perihal gua-gua ini ada disebut di dalam buku Sejarah Melayu dengan sebutan Kota Kelangkio. Dikatakan puteri Onangkio daripada Siam telah singgah di sini semasa mengikuti rombongan ke Pahang. Terdapat sebatang anak sungai berhampiran kawasan ini dinamakan Sungai Siam (Sungai Siang). Terdapat dakwaan lisan daripada penduduk setempat bahawa gua ini boleh dihubungkan dengan negeri Pantai Timur iaitu Terengganu atau Kelantan atau Siam. Dakwaan ini berpunca daripada hubungan dengan Siam dan juga perihal Pahlawan Mat Kilau yang berjaya lari ke Siam tanpa diketahui oleh orang ramai.

Gua Kota Gelanggi ini terletak berhampiran kampung Pulau Tawar iaitu tempat asal pahlawan Melayu Mat Kilau. Sebuah gugusan Felda yang berhampiran gua ini juga dinamakan dengan nama Felda Kota Gelanggi.

Keunikan gua ini telah menarik minat pengeluar filem Sumpah Semerah Padi untuk menjadikannya sebagai lokasi penggambaran filem tersebut. Bandar paling hampir dengan Taman Warisan Gua Kota Gelanggi ini ialah Jerantut dan Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

  

Makam Pawang Nong

 Pawang Nong atau nama sebenar beliau ialah Haji Nong Taib bin Santan adalah merupakan Pawang Diraja Negeri Pahang suatu masa dahulu. Beliau adalah pengikut serta dikatakan pernah menuntut dengan pahlawan Pahang yang terkenal iaitu Mat Kilau yang berjuang menentang penjajah suatu ketika dahulu di sebelah Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Beliau telah dilahirkan di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Benta, Kuala Lipis pada tahun 1874 dan beliau telah meninggal dunia pada 10 November 1977 di Kampung Ulu Cheka. Makam beliau boleh dilawati di perkarangan Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut. Beliau mempunyai dua orang isteri serta dikurniakan 11 orang anak. Isteri pertama beliau bernama Patam Mat Sama yang dikurniakan 8 orang anak. Manakala isteri kedua beliau bernama Hajah Halimat binti Mak Long yang dikurniakan 3 orang anak.

Beliau merupakan pengasas atau pembuka Kampung Ulu Cheka bersama 7 orang kawannya pada 7 Julai 1907. Beliau dilantik sebagai Ketua Kampung pertama sehingga tahun 1966. Beliau juga merupakan pengasas Masjid Kampung Ulu Cheka serta merupakan Pawang Utama di kampung ini dan menjadi Pawang Diraja. Selain itu, beliau juga merupakan pengasas seni silat cekap di Kampung Ulu Cheka serta merupakan Pahlawan Melayu Pahang yang menentang penjajahan komunis dan tentera Jepun di daerah ini. Di kalang penduduk setempat yang rapat memanggilnya dengan gelaran Aki We atau Moyang We.

Selain dari kebolehan beliau mengubati pelbagai jenis penyakit dengan menggunakan kaedah perubatan tradisional, beliau juga merupakan seorang pendekar silap cekap dan diceritakan mempunyai ilmu kebal serta ilmu kalis beli. Dari sumber lisan orang tua dahulukala pernah menceritakan bahawa Pawang Nong pernah ditangkap komunis lalu dirantai tangan beliau dengan besi, namun dengan kehebatan ilmu yang beliau ada dengan mudah sahaja melepaskan rantaian atau ikatan besi tersebut. Beliau juga pernah ditembak namun pelurunya hanya memasuki poket baju yang beliau pakai sahaja tanpa dapat mencederakan beliau. Dikatakan juga beliaulah yang berjaya menangkap orang minyak yang berleluasa di sekitar perkampungan Ulu Cheka dan Kampung Damak suatu masa dahulu.

Dikhabarkan juga melalui cerita lisan orang tua-tua dahulukala bahawa ketika zaman penjajahan tentera jepun, beliau berjaya memagari dari dilihat atau dicerobohi oleh tentera Jepun untuk memasuki kawasan perkampungan dari Kampung Damak sehinggalah ke Kampung Ulu Cheka. Oleh kerana kemasyhuran nama beliau ketika itu, ramai yang datang untuk belajar dan berguru dengan beliau khususnya dalam bidang perubatan tradisional.

Makam beliau boleh dilawati di Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang. Atas jasa-jasa beliau ini sebuah sekolah rendah kebangsaan dinamakan sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Pawang Nong Ulu Cheka bagi mengingati dan mengenang jasa beliau dalam mempertahankan dan memperjuangkan orang-orang Melayu suatu masa dahulu.

Tarikh Kemaskini Terakhir: 2:45 PTG