Skip to main content

TEMPAT MENARIK

Hutan Mossy

Hutan Mossy terkenal dengan keindahan hutannya yang berlumut. Keindahannya membuatkan pengunjung merasakan satu dunia asing yang belum pernah dikunjungi. Maka tidak hairanlah Hutan Mossy menjadi pilihan utama pelancong dalam dan luar negara.

Hutan Mossy sememangnya mempesonakan dengan keindahan flora dan fauna serta lumut-lumut hijau yang hidup menumpang di atas tanah serta dahan-dahan pokok.

 

Menara Tinjau Puncak Gunung Brinchang

Menara Tinjau terletak di puncak Gunung Brinchang, setinggi 2000 meter dari paras laut. Menara setinggi 30 meter ini diperbuat daripada besi keluli. Dari Menara Tinjau ini, pengunjung dapat melihat 360 darjah pemandangan Cameron Highlands dan negeri Perak.

Selain itu juga, pengunjung dapat melihat puncak Gunung Irau yang merupakan puncak tertinggi di Cameron Highlands serta sering menjadi tarikan pendaki gunung.

 

Hutan Lipur Parit Fall

Hutan Lipur Parit Fall merupakan antara destinasi kunjungan bagi pencinta alam. Keindahan hutan yang kaya dengan flora dan fauna ini turut  mempunyai air terjun. Di kawasan ini juga terdapat trek bagi memulakan pendakian samada pendaki mahu memulakan pendakian ke Gunung Berembun atau Gunung Brinchang.

 

Tapak Perkhemahan Sungai Pauh

Tapak Perkhemahan Sungai Pauh terletak di dalam kawasan Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands iaitu 2 km daripada Pekan Tanah Rata dan bersebelahan dengan Kampung Taman Sedia. Kawasan perkhemahan ini amat sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan sering menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun pengembara. Selain itu juga, pelbagai kemudahan turut disediakan di kawasan ini seperti tapak perkhemahan, surau, tandas, pondok BBQ dan pondok untuk berehat.  Malah kawasan ini dapat menghubungkan jaringan trek hutan untuk ke Hutan Lipur Parit Fall dan Gunung Berembun.

 

 

Kampung Taman Sedia

Merupakan perkampungan Melayu di Cameron Highlands yang terletak di antara Pekan Tanah Rata dan Brinchang. Di sini terdapat banyak ladang strawberi dan penanaman sayur yang diusahakan oleh penduduk setempat. Setiap ladang strawberi di sini akan menjual buah strawberi segar dan produk hiliran seperti jem, jus, scone mahupun aiskrim. Selain itu juga, kemudahan penginapan inap desa, chalet turut disediakan di perkampungan ini.

 

Taman Pertabalan Tanah Rata

Kawasan ini menjadi tumpuan ahli keluarga untuk bersantai terutama pada waktu petang. Terdapat kemudahan permainan yang disediakan untuk kanak-kanak serta kawasan yang luas.

 

Kebun Bunga

Industri penanaman bunga merupakan aktiviti ekonomi utama di daerah Cameron Highlands. Hasil penanaman bunga bukan sahaja mendapat tempat di pasaran tempatan malah turut di eksport hingga ke Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Jepun. Antara bunga yang sering mendapat permintaan yang tinggi seperti mawar, kekwa, lavendar, daisy dan lily.

 

Ladang Teh

Tidak lengkap percutian anda ke Cameron Highlands jika tidak mengunjungi Ladang Teh. Pengunjung pastinya akan terpukau dengan keindahan pokok teh sambil menghirup teh panas yang segar dari ladang.

Terdapat dua syarikat swasta yang mengusahakan peladangan teh iaitu Syarikat Tea Boh dan Syarikat Bharat Tea Group.

 

Taman Bunga Ros

Destinasi taman bunga ros yang popular di Cameron Highlands adalah Rose Centre di Kea Farm dan Rose Valley yang terletak di pekan Tringkap. Pilihan tanaman bunga di taman ini mempunyai pelbagai variasi warna yang cantik bagi pengemar bunga ros.

 

Ladang Lebah

Di Cameron Highlands juga terdapat ladang lebah yang merupakan tempat pembiakan lebah yang diletakkan di dalam sarang buatan bagi menghasilkan madu. Pelancong boleh membeli madu-madu segar yang dihasilkan di ladang ini selain produk-produk lain seperti jus, losyen madu dan sabun yang diperbuat daripada madu.

 

Tarikh Kemaskini Terakhir: 12:06 PG