Skip to main content

SESI PERBINCANGAN ISU PERPARITAN BERISIKO BANJIR DAERAH TEMERLOH

SESI PERBINCANGAN ISU PERPARITAN BERISIKO BANJIR DAERAH TEMERLOH

TEMERLOH, 3 September 2026 – Sesi Perbincangan Isu Perparitan Berisiko Banjir Daerah Temerloh telah diadakan pada 3 September 2026 (Khamis), bertempat di Bilik Gerakan Daerah (BGD), Blok A, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Temerloh.

Sesi perbincangan yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dipengerusikan oleh YH Dato’ Khairur Rizal bin Ramli, Pegawai Daerah Temerloh Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diadakan bagi membincangkan isu-isu berkaitan sistem perparitan yang berisiko menyumbang kepada kejadian banjir di Daerah Temerloh. Perbincangan ini juga susulan lawatan YB Setiausaha Kerajaan Pahang ke daerah Temerloh pada 25 November 2025 dan surat arahan Kerajaan Negeri bertarikh 21 April 2026, seterusnya pada tahun ini disokong dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 1 September 2026 yang lalu.Perbincangan turut memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat serta tindakan susulan yang perlu diambil oleh pihak-pihak berkaitan dalam menangani isu perparitan berisiko banjir, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Sekretariat Bencana Daerah iaitu Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah serta dari PDT sendiri.

Kerjasama dan perhatian semua pihak termasuk di peringkat kampung mahupun mukim amat diperlukan bagi memastikan perkara yang dibincangkan dapat diambil tindakan sewajarnya.Sesi ini merupakan salah satu usaha dalam memperkukuh penyelarasan antara jabatan/agensi dan semua pihak berkepentingan dalam menghadapi risiko banjir, di samping meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta keselamatan masyarakat di Daerah Temerloh.Usaha berterusan dalam mengenal pasti dan menangani isu perparitan ini diharap dapat membantu mengurangkan risiko banjir serta memastikan pengurusan bencana di Daerah Temerloh dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tersusun.Buat masa ini, berdasarkan data yang dikumpul dari JPKK, Mukim, jabatan/agensi serta pelbagai sumber aduan lain, sebanyak 163 lokasi dikenalpasti sebagai kawasan saliran yang berisiko menjadi punca kepada kejadian banjir. Daripada senarai itu, sebanyak 34 lokasi adalah di bawah seliaan JPS dan bakinya adalah di bawah tanggungjawab serta seliaan beberapa jabatan/agensi lain di peringkat daerah.

Bagi tahun 2026, pihak JPS telah melaksanakan sebanyak 9 kerja pemuliharaan, penstabilan, penyelenggaraan, naik taraf longkang/saliran dan sungai di beberapa lokasi, membabitkan peruntukan sebanyak RM460,000; manakala 2 projek lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan anggaran kos sebanyak RM100,000.00. Baki 24 lokasi yang tidak dapat dilaksanakan lagi kerja-kerja berkaitan oleh pihak JPS atas kekangan peruntukan dianggar membabitkan kos sebanyak RM830,000.Baki daripada 163 lokasi iaitu sebanyak 129 akan terus diusahakan peruntukannya melalui pelbagai sumber oleh semua pihak.Adalah diharapkan usaha awal ini akan membantu meminimakan kesan kejadian banjir di daerah menjelang Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November 2026 sehingga Mac 2027.
Tarikh Kemaskini Terakhir: 2:33 PTG