Skip to main content

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KALI KE-69 PERINGKAT DAERAH TEMERLOH MERIAH

TEMERLOH, 31 Ogos 2026 (Isnin) – Sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-69 Peringkat Daerah Temerloh berlangsung meriah pagi ini di Dataran Temerloh, Temerloh, bermula jam 7.45 pagi, dengan penyertaan pelbagai kontinjen perbarisan serta kehadiran dif-dif jemputan dalam suasana penuh semangat patriotik.

Sambutan dimulakan dengan ketibaan dif-dif jemputan dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal bin Ramli. Ia disusuli dengan perarakan masuk kontinjen dan turut dimeriahkan dengan perbarisan kenderaan oleh jabatan kerajaan, badan berkanun serta badan bukan kerajaan (NGO) Daerah Temerloh, yang menyerlahkan semangat kerjasama dan kebersamaan pelbagai agensi dalam meraikan Hari Kebangsaan.Acara kemudiannya disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, Allah Rahmatkan Raja Kami dan lagu tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, selain bacaan doa serta ikrar oleh wakil belia Daerah Temerloh.
Amanat YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, turut disampaikan oleh Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal bin Ramli. Dalam amanat tersebut, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan, sebaliknya merupakan amanah setiap generasi untuk menentukan masa depan yang lebih baik, di samping memastikan pembangunan, kemajuan ekonomi dan teknologi memberi manfaat serta kesejahteraan kepada rakyat.Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Temerloh ini turut dihadiri oleh YB Senator Puan Hajah Norhasmimi binti Abdul Ghani, Ahli Dewan Negara; YB Tuan Woo Chee Wan, Ahli Dewan Negeri Mentakab; YH Dato’ Ridzuan Hazimin bin Ramli, Penyelaras Dewan Negeri (DN) Lanchang; Encik Mohd Azly bin Dato’ Indera Haji Norzan, Penyelaras Dewan Negeri (DN) Kuala Semantan; Tuan Rizal bin Mustafa, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh; Asisten Komisioner (ACP) Mohd Nasyim bin Hj Bahron, Ketua Polis Daerah Temerloh; Mejar Mohd Hairuziad bin Ali, wakil Pegawai Memerintah Rejimen Ke-7 Artileri Diraja, Kem Batu 3 Temerloh serta ketua-ketua jabatan dan agensi dalam Daerah Temerloh.
Sambutan tahun ini turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Transformers Bumble Bee yang mencuri perhatian dan menjadi tumpuan orang ramai, khususnya kanak-kanak dan keluarga, untuk bergambar serta memeriahkan suasana sambutan.Antara acara yang mencuri perhatian ialah persembahan T Baton oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang berlangsung penuh bertenaga dan menjadi salah satu tarikan utama sambutan. Persembahan tersebut turut disusuli dengan persembahan nyanyian lagu patriotik oleh pelajar SK Lanchang, tarian gabungan Irama Melayu dan Sewang dari SK Kerdau serta persembahan Brass Band oleh pelajar SK Jalan Bahagia.Majlis diakhiri dengan Penyampaian Sijil Penghargaan dan Hadiah Pertandingan oleh YH. Dato’ Khairur Rizal bin Ramli sebagai tanda penghargaan kepada semua kontinjen daripada jabatan kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah bersama-sama mengambil bahagian dan memeriahkan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Daerah Temerloh pada tahun ini.
Tahniah diucapkan kepada kontinjen perbarisan Pejabat Daerah Dan Tanah Temerloh yang memperolehi tempat ke-3 dalam pertandingan perbarisan bagi kategori Jabatan Kerajaan / Badan Berkanun. Semoga terus beroleh kejayaan di masa hadapan.Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus, memberikan komitmen dan bekerjasama dalam memastikan Sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-69 Peringkat Daerah Temerloh dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.Sambutan ini bukan sekadar meraikan 69 tahun kemerdekaan, tetapi menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan serta menghayati amanah untuk bersama-sama membina masa depan negeri Pahang dan Malaysia yang lebih kukuh, makmur dan sejahtera.
Selamat Hari Kebangsaan Ke-69! 🇲🇾
Tarikh Kemaskini Terakhir: 2:33 PTG