PEGAWAI DAERAH TEMERLOH TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA PEGAWAI PEMERINTAH SKUADRON KE-11 RAJD (MEKANIZE)
TEMERLOH, 5 Jun 2026 (Jumaat) – Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh telah menerima kunjungan hormat daripada Pegawai Pemerintah Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanize), Kem Batu 3, Temerloh dalam satu sesi yang berlangsung di Bilik Gerakan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.
YH. Dato' Khairur Rizal bin Ramli, Pegawai Daerah Temerloh sangat berbesar hati menerima kunjungan hormat Mejar Ir. Ts. Muhammad Afiq Bin Anhar, Pegawai Pemerintah Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanize) beserta pegawai beliau yang merupakan satu platform untuk mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara pihak tentera dan pentadbiran daerah, di samping membincangkan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan bersama. Turut hadir sama ialah Puan Rosmelah binti Awang, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Tanah), Encik Muhammad Aizuddin bin Rupawon, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Daerah) dan Puan Norhasida binti Abdullah, Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah).
Antara agenda utama perbincangan adalah berkaitan persiapan dan penyelarasan Lawatan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Jurutera Diraja, Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ke Kem Batu 3, Temerloh yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Perbincangan turut menyentuh aspek koordinasi antara agensi bagi memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur sepanjang lawatan rasmi tersebut.
Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh menyambut baik kunjungan ini sebagai satu usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama antara agensi kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia dalam menjayakan program-program yang melibatkan kepentingan daerah serta masyarakat setempat.
Kunjungan hormat berkenaan berakhir dalam suasana mesra dan penuh semangat kerjasama, mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memastikan setiap urusan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

