Skip to main content
PERKHIDMATAN
PANTAS
Facebook Kalendar
Temerloh, 10 Jun 2026 – Satu Mesyuarat Pemantauan Projek Program Bantuan Baru Rumah (PBR) Bil. 02/2026 telah diadakan pada hari ini bertempat di Bilik Gerakan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, bagi meneliti perkembangan semasa pelaksanaan projek-projek PBR di Daerah Temerloh.
 
Mesyuarat yang bermula pada jam 3.00 petang itu telah dipengerusikan oleh YH. Dato’ Khairur Rizal bin Ramli, Pegawai Daerah Temerloh dan dihadiri oleh pegawai dan penolong jurutera dari Bahagian Pembangunan Daerah yang terlibat dalam pelaksanaan Program Bantuan Baru Rumah (PBR).
 
Mesyuarat diadakan bagi memantau status kemajuan projek, mengenal pasti isu-isu yang berbangkit serta membincangkan langkah-langkah penyelesaian bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Perbincangan turut memberi fokus kepada aspek penyelarasan antara agensi pelaksana, pemantauan di lapangan serta usaha mempercepatkan pelaksanaan projek demi manfaat golongan sasar.
 
Program Bantuan Baru Rumah (PBR) merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang bertujuan membantu golongan yang layak memiliki kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif. Justeru, pemantauan secara berkala amat penting bagi memastikan objektif program dapat dicapai dengan berkesan.
 
YH. Dato’ Khairur Rizal bin Ramli dalam mesyuarat tersebut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan setiap peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima yang layak.
 
Mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian melalui pelaksanaan program pembangunan dan bantuan perumahan yang berimpak tinggi.