CAMERON HIGHLANDS, 4 Ogos 2026 – Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) telah mengadakan Kursus Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang disertai oleh ketua bahagian dan ketua aunit sebagai usaha memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang baik serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam. Kursus tersebut disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Nor Diana Ismail.
SPINE merupakan sistem semakan kendiri yang menilai tahap integriti, governans, risiko rasuah serta usaha pencegahan salah laku dalam sesebuah organisasi. Pelaksanaannya selaras dengan matlamat Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan mandat Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) bagi memperkasakan tadbir urus berintegriti dalam sektor awam.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada objektif utama SPINE yang merangkumi penilaian tahap integriti organisasi, mengenal pasti jurang dan risiko integriti, pelaksanaan tindakan pembetulan serta penambahbaikan berterusan, di samping mewujudkan budaya kecemerlangan melalui pengiktirafan dan insentif. – MEDIA PDTCH